10 Oktober 2016 - 06:04
Rakyat Yaman Sertai Tunjuk Perasaan Kecam Saudi Rentetan Tragedi Di Sana'a.

Ribuan rakyat Yaman telah turun ke jalan raya di ibu kota negara itu, Sana'a untuk mengutuk tindakan Arab Saudi yang mengebom sebuah majlis pengebumian yang menyebabkan ratusan orang awam terbunuh atau cedera.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Ribuan rakyat Yaman telah turun ke jalan raya di ibu kota negara itu, Sana'a untuk mengutuk tindakan Arab Saudi yang mengebom sebuah majlis pengebumian yang menyebabkan ratusan orang awam terbunuh atau cedera.

Dengan membawa bendera dan sepanduk, para penunjuk perasaan berkumpul di hadapan bangunan PBB di Sana'a pada hari Ahad semalam untuk melaungkan kemarahan mereka terhadap rajim Saudi.

Protes itu telah dicanangkan oleh Suruhanjaya Tinggi Politik Yaman pada hari Sabtu lalu.

Hampir 150 orang dilaporkan terbunuh dan lebih daripada 525 orang lagi mengalami kecederaan berikutan pengeboman pesawat Saudi ke atas sebuah dewan komuniti yang terletak di selatan Yaman. Ketika pengeboman dilancarkan, sebuah majlis pengebumian bagi bapa kepada menteri dalam negeri Yaman dikatakan sedang berlangsung.

Pengeboman itu mengakibatkan kerosakan yang teruk dan menyaksikan anggota-anggota badan manusia tercampak di dalam dan di luar dewan tersebut.

Angka kematian itu dilaporkan sebagai yang tertinggi di dalam sebuah insiden semenjak Mac 2015 apabila Riyadh memulakan kempen mereka untuk memusnahkan Houthis dan sekutu mereka di Yaman. Arab Saudi dengan campur tangan mereka berharap supaya dapat mengembalikan kuasa kepada bekas presiden iaitu Abd Rabbuh Mansur Hadi.

Datuk bandar Sana'a juga dilaporkan menjadi mangsa serangan Saudi ke atas sasaran awam itu.